MAC 2024

Sokong Pembangunan Bakat, Mbot Bantu Bangunkan 10,000 Teknologis


KUCHING: Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) berhasrat membantu membangunkan 10,000 teknologis bagi meningkatkan pembangunan bakat di Sarawak terutama dalam bidang teknologi. 

Presiden Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), Datuk Ts Ir Dr Siti Hamsiah Tapsir berkata, usaha itu akan dijalankan melalui kerjasama dengan agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR); Persatuan Juruteknik dan Juruteknologi Profesional (APTT); dan Persatuan Teknologi Malaysia (TAM).

“Tidak hanya mengenal pasti dan menyokong graduan tetapi kami juga memberi keutamaan kepada golongan profesional sedia ada yang boleh mendapat manfaat daripada latihan dan pengiktirafan lanjutan. 

“Ia termasuk memfasilitasi kursus yang relevan, program bimbingan dan perkongsian industri untuk memastikan graduan bersedia bekerja setelah menamatkan pengajian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.

Kata Dr Siti Hamsiah, MBOT berperanan mengiktiraf bakat dalam 24 bidang tertentu.

“Dan Sarawak kian aktif dalam pembangunan teknologi dengan pendedahan kepada Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) yang  menggunakan kuasa hidrogen pertama di rantau ini.

“Pembangunan ini benar-benar luar biasa kerana perkembangan ini tidak berlaku di tempat lain selain dari Sarawak.

“Kami di sini untuk menawarkan sokongan kami dalam mengiktiraf dan meningkatkan bakat dalam Sarawak, memastikan mereka menerima pengiktirafan dan mempertingkatkan peluang mereka,” katanya.